[ U FOLLOW ME..]

Wednesday, April 1, 2009

[ pandangan lain ttg TALENTIME ]

Yasmin tidak mengangkat filem ini sebagai filem cinta antara dua darjat seperti filem2 A.Razak Mohaideen. Ataupun cinta antara benua. Tetapi cinta yang tidak mengenal siapa. Menolak segala hukum perbezaan darah daging,warna kulit,berbezaan bangsa,hukum agama,sifat dan paras rupa. Berputik bukan disebabkan kecantikan, tetapi dari hati dan perasaan yang jauh lebih mendalam. Tidak dapat diungkapkan dengan lidah, tetapi dari bahasa hati. Hasil hubungan seakan-akan cinta si penarik beca, ditransformasikan dengan cara yang sedikit moden, di atas sebuah motor kapcai.Antara Melur yang punya suara lunak merdu bernyanyi,bersajak dan bergurindam dengan Mahesh seorang lelaki kacak, tetapi bisu dan pekak

Percintaan yang meleret sampai ke pengetahuan keluarga Melur yang merestui hubungan mereka berdua sehingga boleh berdua-duaan bersama. Bermesra di taman. Sehingga terlebih imaginasi dari berkasih akan berkahwin, dan kemudian mendapat anak yang ramai. *aku fikir itulah motif ada budak2 ketika Melur dan Mahesh berdating di sebuah taman. Dan imaginasi terlampau mereka akan berkahwin digambarkan pula dengan shot-shot Bridal Shop, Bridal Gallery selepas saja babak Melur dan Mahesh berdating.*aku fikir itulah motifnya.

Tetapi percintaan meraka berdua tidak pula direstui oleh ibu Mahesh yang begitu taksub mengenai perbezaan agama dan kepercayaan. Takut Mahesh akan keluar dari agama asalnya seperti yang berlaku kepada Pak Ciknya dengan bekas kekasihnya. Pak Ciknya ingin berkahwin dengan seorang perempuan India Muslim tetapi ditentang oleh Ibu Mahesh. Seperti ayat yang dikeluarkan oleh ibu Mahesh, “nanti dia akan meninggalkan kita,” yang sebenarnya aku fikirkan adalah masuk Islam dan meninggalkan agama Hindu. dan bukan meninggalkan atau melupakan keluarganya.

Ditambah pula dengan kematian Pak Ciknya yang terbunuh dalam satu pergaduhan ketika Pak Ciknya ingin melangsungkan perkahwinan. Apabila sebuah keluarga yang ada kematian yang aku rasakan adalah keluarga Islam mengadakan tahlil, sedangkan keluarga Mahesh pula mengadakan perkahwinan. Bergaduh mungkin kerana bising. Sebuah keluarga buat tahlil, sebuah lagi buat majlis perkahwinan. Kaum India apabila kahwin mestilah ada pukul-pukul gendang, yang mengeluarkan bunyi yang agak bising. lalu bergaduh. *motif babak 2 orang India main alat muzik, sebagai refleksi kepada konflik ini.
Babak-babak ini aku rasakan adalah sebenarnya untuk menyindir orang-orang yang kononnya kuat agama. Tetapi sebenarnya hampeh. Berdasarkan ayat yang dikeluarkan ibu Mahesh ketika meratapi kematian Pak Ciknya, “mereka kelihatan seperti orang kuat beramal, tetapi mereka tidak punya perasaan,”.

Hafiz dan Kahoe.
Hafiz dan Kahoe adalah antara 2 watak penting dalam talentime. Juga finalis untuk malam Talentime seperti Melur. Hafiz punya suara yang merdu,pandai mencipta lagu dan pandai bermain gitar. Dan Kahoe pula pandai bermain sebuah alat muzik tradisional Cina. Tetapi Kahoe bencikan Hafiz. Sebab?

Pada permulaan cerita, kelihatan Kahoe membenci Hafiz disebabkan kedatangan Hafiz ke sekolah mereka menyebabkan dia berada di tempat kedua di dalam kelas. Markah Hafiz tinggi daripanya. Kahoe takut dia akan dimarahi oleh bapanya. Dan oleh itu dia membenci Hafiz.

Tetapi pada hakikatnya, Kahoe membenci Hafiz disebabkan Hafiz juga rapat dengan Melur. *motif Kahoe bawa lagu Mo Li Hua menggunakan alat muzik tradisional cina yang bermaksud MELUR. *lihat babak Kahoe angkat kerusi pada hampir akhir cerita. Segalanya terjawab di situ.

Kahoe sebenarnya membawa ciri-ciri watak insan-insan yang tidak berani melontarkan rasa sayang terhadap orang yang disayang. Mempunyai sifat-sifat membenci yang mendalam hasil daripada berbuatan ayahnya memukulnya.

Manakala Hafiz pula mewakili insan-insan yang menyayangai orang disayangi dengan mengambil berat terhadap orang yang disayanginya. dia juga punya perasaan terhadap Melur tetapi kasih-sayang terhadap ibunya yang mendalam mungkin menjadi batasan. Tambahan pula dia dapat menghidu hubungan Melur dengan Mahesh. Dia tampak mengalah. Lalu cintanya itu dicurahkan segalanya kepada ibunya yang sakit dan terlantar dihospital.

Setiap kali habis sesi persekolah, Hafiz akan melawat ibunya. Bercerita perihal sekolah. Kisah talentime.Sehinggalah ibunya meninggal dunia. Dan hikmahnya, Kahoe insaf setelah mendengar berita menyedihkan itu dan berbaik semula Hafiz.

Kesimpulan.
Sebenarnya terlalu banyak yang ingin aku perkatakan mengenai Talentime ini. Yasmin Ahmad sedaya-upaya memasukkan isu-isu dan mesej-mesej yang menarik dalam filem ini. Baik mesej agama, perpaduan,kekeluargaan dan mengenai politik. terlalu banyak elemen yang di masukkan yang membuatkan filem ini punya pelbagai warna..

Setiap watak dan kumpulan watak membawa dan mendukung satu mesej atau isu. Contohnya Keluarga Melur membawa satu mesej keagamaan. Di mana Islam itu adalah kepercayaan dan bukan identiti melalui ayat yang dikeluarkan oleh salah satu watak, “auntie Mei Ling masuk Islam, bukan masuk Melayu atau arab,”

Dan keluarga Mahesh pula membawa satu mesej perpaduan. Perpaduan yang sepatutnya dijaga agar tidak berlaku pertumpahan darah. Hormat menghormati antara kaum perlu agar tidak berlaku kekacauan atau bergaduhan. Saling memahami.

Keluarga Hafiz dan Kahoe adalah berkaitan institusi kekeluargaan. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Hafiz seorang yang kuat. Bersemangat dan tabah seperti ibunya ketika mengandungkannya. Kahoe seperti ayahnya. Membawa watak antagonis. Sifat benci. Marah.

Watak Cikgu Anuar adalah mewakili insan-insan pencinta wanita yang sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan cinta mereka. Sanggup menipu. Sanggup berbohong dan menolong atas kepentingan peribadi semata-mata.

Aku suka watak mak cik Mahesh yang bekerja sebagai jururawat yang merokok. dan juga watak doktor yang merawat ibu Hafiz. Doktor yang tidak mesra dengan pesakit. Tidak menjaga sensitiviti pesakit. Yang hanya melakukan kerja seperti melepas batuk ditangga. Sindiran kepada institusi perubatan kerajaan mungkin.

Sukar untuk ungkapkan dengan segala tulisan dan ayat-ayat ni. Apa yang korang perlu buat adalah pergi ke panggung wayang dan tontonlah sendiri. Tak rugi dan memang berbaloi

1 comment:

  1. malas nk bac. huh! ~kiteowg merajok! g tgk xtg kiteorg dahla...

    ReplyDelete